Tentang Saya

Saya, Mohd Hairul Bin Ithnin, anak jati dari Segamat, Johor. Lebih dikenali sebagai Hairul Vcool; diambil sempena singkatan dari nama syarikat saya iaitu “Vcool Engineering & Services”. Sebelum memulakan perniagaan, saya ialah seorang Tenaga Pengajar di Pusat GiatMara dalam bidang Penyejukbekuan Dan Penyaman Udara. Sebelum dipelawa untuk berkhidmat dengan GiatMara Malaysia, saya hanyalah pelatih biasa yang mengikuti kursus tersebut di Pusat GiatMara Segamat. Kemahiran saya mula terserlah apabila saya dipilih untuk masuk ke “Pertandingan Kemahiran Malaysia ke -14 (Tahun 2004)”

Saya telah mendapat gelaran Juara dan dinobatkan gelaran “Anugerah Tangan Emas Malaysia” untuk keseluruhan bidang “Penyejukbekuan Dan Penyaman Udara”.

Oleh kerana minat yang mendalam dalam bidang perniagaan, setelah 4 tahun berkhidmat bersama GiatMara, pada tahun 2008 saya telah mengambil keputusan untuk berhenti berkhidmat bersama GiatMara dan berpindah ke Johor Bahru untuk fokus dengan membuka perniagaan.

Pada permulaan perniagaan, saya bukan hanya fokus pada membaikpulih mesin basuh dan peti sejuk sahaja, saya juga ada membuat perkhidmatan servis & baikpulih aircond dan wiring. Akan tetapi, saya ingin lebih fokus pada beberapa skop bidang sahaja. Jadi, saya telah membuat keputusan untuk fokus pada membaikpulih mesin basuh & peti sejuk sahaja.

Lebih 10 tahun saya berniaga dalam bidang ini, saya telah banyak mendengar keluhan daripada pelanggan tentang kesusahan mencari ‘technician’ dan kos ‘repair’ mesin basuh dan peti sejuk yang sangat tinggi. Pada suatu hari, saya telah dihubungi oleh seorang pelanggan yang tinggal jauh di pendalaman Sabah. Beliau memberitahu saya kesukaran beliau untuk mendapatkan technician yang berdekatan. Technician yang terdekat ialah lebih kurang 50km dari kediaman beliau. Akan tetapi, technician itu meminta RM100 untuk upah checking sahaja (tidak termasuk alat ganti dan upah kerja). Beliau tidak mampu untuk membayar technician tersebut kerana berkemungkinan kos repair akan menjadi lebih tinggi. Beliau meminta saya membuatkan satu panduan khas dalam bentuk video tutorial untuk mengenalpasti punca dan mencari kerosakan mesin basuh beliau. Jadi, panduan yang saya buat tersebut telah berjaya menyelesaikan masalah beliau dengan kos yang sangat rendah. Di situlah tercetusnya idea untuk saya membantu lebih ramai orang di luar sana.